top of page
Writer's pictureHussein Abdul Hamid

HIGH TABLE




1. Antara Dua Darjat. Melodrama karya seniman agong Allahyarham P.Ramlee. Ia diterbitkan pada tahun 1960 dan menceritakan golongan kelas atasan dan bawahan serta cara bagaimana golongan atasan ini sentiasa merasakan yang dibawah adalah kasta dan standard yang berlainan dan lebih rendah.


2. Melalui filem tersebut tragedi dua kelas ini diterjemahkan. Yang kaya dan kayangan di kelas tersendiri manakala yang marhaen dan biasa-biasa yang lemah yang tidak berkuasa diletakkan di bawah. Malah bergaul pun dilarang.


3. Apa yang nyata adalah dalam Negara ini sindrom sepertimana di layar perak itu kini makin menjadi realiti. Kalau dulunya terpaksa beratur membeli tiket wayang untuk menonton Antara Dua Darjat, kini saban hari kita dipertonton secara percuma melalui media sosial.


4. Yang kaya yang bergaya yang berkuasa. Seperti ada dua kelas terwujud. Yang peliknya seolah-olah ianya diterima oleh masyarakat. Jangan ditegur yang di atas nanti kita susah. Biarlah itu urusan mereka, kita ini orang tiada apa tidak perlu masuk campur urusan.


5. Sifat acuh tak acuh inilah yang memberanikan mereka di kayangan untuk makin bermaharajalela kemaruk dengan posisi dan kedudukan. Kerana mereka tahu Rakyat akan telan akan hadam sampai Rakyat padam.


6. Di kampung-kampung di masjid-masjid di surau-surau di kelas-kelas agama kita sentiasa diajar nilai murni. Jangan curi, jangan tipu, jangan tamak, jangan sombong, ingat Tuhan melihat kita. Kenapa kita tidak diajar mesti berani bersuara kalau orang buat salah. Mesti tegur kalau kayangan orang kaya buat salah. Atau hanya senyap kerana hormat?


7. Baru-baru ini tular di media sosial. Acara Iftar Istana Negara.Ramai golongan– golongan elit, kayangan, berkuasa, berpengaruh, kenamaan, VVIP, kelas atasan, dif-dif kehormat hadir. Ada juga ‘orang besar’. Duduk pula dihadapan sekali di ‘High Table’. Jemputan yang lain yang elit, kayangan, berkuasa, berpengaruh, kenamaan, VVIP, kelas atasan, dif-dif kehormat juga kena duduk di bawah mengadap ‘High Table’.


8. Yang peliknya ‘orang besar’ itu telah didapati bersalah. Dua kali. Bukan dihakimi oleh media sosial atau facebook tetapi oleh Mahkamah. Bukan sahaja itu tetapi hukuman pula penjara 12 tahun denda RM210 juta. Ya, banduan di Istana Negara.


9. Di Majlis Iftar itu juga ada Perdana Menteri. Sokongan sebagai Perdana Menteri datang dari orang besar ini juga. Ya, banduan yang sama.


10. Persoalan yang harus ditanya adalah mengapa Istana Negara melalui Unit Protokol menjemputnya? Bukankah ‘orang besar’ ini bersalah. Rayuan walaupun belum selesai dia masih lagi bersalah. Kerana bicara telah selesai dan didapati bersalah.


11. Apakah mesej yang ingin dihantar? Kalau buat salah tetapi ada pengaruh tidak mengapa?


12. Sedarkah Istana Negara bahawa kini pelbagai spekulasi timbul. Belum pun selesai Mahkamah Persekutuan memutuskan Rayuan. Telah ada orang mula bicara pengampunan diraja.

13. Paling malang sekali, yang boleh beri pengampunan itu hanya selang dua kerusi sahaja di High Table itu.


14. Rakyat mesti berani bersuara kalau melihat kebatilan. Itu tanggungjawab kita. Selamatkan Malaysia.


Muhammad Rafique Rashid Ali

Timbalan Ketua

Majlis Pimpinan Pejuang Wilayah Persekutuan

21.04.2022


1,202 views0 comments

Related Posts

See All

Коментарі


bottom of page