Anda juga sudah tentu tahu bahawa skandal NFC mula-mula disebut di dalam Laporan Ketua Audit Negara sendiri. Saya hanya menyiasat dengan lebih mendalam dan mendedahkan pembelian-pembelian dengan menjejaki setiap kondominium yang dibeli. Jika anda tidak percaya, saya jemput baca beribu-ribu muka surat dokumen yang berdasarkan dokumen-dokumen rasmi ini yang telah diaudit bagi setiap skandal yang saya bongkar, seperti pautan-pautan yang tertera di skrin:
Skandal 1MDB: 118 dokumen di http://rafiziramli.com/category/1mdb/ Skandal FELDA: 47 dokumen di http://rafiziramli.com/category/felda/ Skandal Tabung Haji: 31 dokumen di http://rafiziramli.com/category/tabung-haji/ Skandal NFC: 52 dokumen di http://rafiziramli.com/category/skandal-nfc/ Skandal LTAT: 16 dokumen di http://rafiziramli.com/category/ltat/ Skandal MARA: 21 dokumen di http://rafiziramli.com/category/mara/
Fitnah adalah mereka-reka cerita yang tidak wujud. Fitnah adalah berkata bohong. Apabila saya mendedahkan bagaimana wang rakyat sebanyak RM 250 juta telah diselewengkan untuk membeli kondominium dan bukannya menternak lembu seperti yang sepatutnya, pimpinan UMNO tidak menafikan pun bahawa kondominium-kondominium telah dibeli atas nama keluarga Dato’ Seri Shahrizat. Mereka menuduh saya memfitnah atas alasan kononnya tindakan membeli kondominium menggunakan wang rakyat itu tidak salah, kerana mereka berhak membelanjakan wang yang dipinjam itu.
Mereka menuduh saya memfitnah kerana kononnya di sebalik segala kerugian itu, disebalik rizab Tabung Haji yang negatif – itu tidak mempengaruhi keutuhan kewangan Tabung Haji. Kaedah menutup skandal dengan menuduh saya memfitnah ini digunapakai dalam semua skandal yang lain juga. Tidak pernah sekali pun Dato’ Seri Najib menafikan angka-angka yang saya bentangkan mengenai kedudukan kewangan FELDA. Sudah tentu mereka tidak boleh menafikannya kerana angka itu datang dari penyata kewangan yang diaudit serta jawapan-jawapan menteri di parlimen.
Sehingga sekarang mereka tidak menjawab soalan saya: ke mana perginya RM 7 bilion yang telah dibelanjakan di antara tahun 2011 hingga 2017? Siapa yang dapat RM 7 bilion ini? Sebaliknya, mereka menuduh saya memfitnah kerana kononnya walau pun semua angka ini benar, tetapi tiada berlaku sebarang penyelewengan di dalam FELDA. FELDA hanya rugi kata mereka, sama seperti perniagaan lain pun rugi. Bila saya mempersoalkan kerugian yang melampaui batas ini, jawab mereka saya telah memfitnah.
Comentários