top of page
Writer's pictureHussein Abdul Hamid

Isu halal: Jakim perlu agresif, bukan defensif




MAKLUM balas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung pendedahan laporan Utusan Malaysia dengan meminta pihak makmal ujikaji makanan swasta tampil memberikan laporan penuh berhubung dakwaan produk halal ada unsur babi, menimbulkan tanda tanya.


Sedangkan, jika dibaca keseluruhan laporan itu jelas menyatakan makmal terbabit sudah pun mengemukakan aduan kepada jabatan berkenaan sejak tahun 2016 mengikut saluran betul.


Justeru, sebagai badan pensijilan halal disegani dunia, Jakim sepatutnya mempunyai rekod setiap aduan berkaitan keraguan halal daripada mana-mana pihak, apatah lagi aduan berkenaan datangnya dari industri sendiri yang diiktiraf dan mendapat pensijilan ISO.


Isu halal haram amat sensitif dalam kalangan umat Islam, lebih-lebih lagi jika ada unsur babi dalam produk makanan. Ia bukan sahaja melibatkan isu agama, malah berkait isu kesihatan jika ada pengguna yang alergik pengambilannya.


Pengurusan halal boleh ditambah baik dengan mengubah polisi sedia ada. Jakim tidak boleh lagi bergantung hanya kepada satu jabatan berautoriti dalam membuat semakan halal atau setidak-tidaknya mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak makmal swasta yang berusaha menjaga kepentingan ummah berkaitan hal halal dan haram tersebut sekiranya terdapat perbezaan hasil keputusan makmal.


Melantik makmal swasta sebagai panel makmal Jakim boleh membantu meningkatkan kompetensi, kecekapan dan mengurangkan kesilapan manusia dalam mengendalikan ujian produk agar keputusan dapat ditentukan lebih tepat yang mana ianya amat penting demi menjaga integriti pensijilan Halal itu sendiri.


Mungkin kaedah pemantauan pasca pensijilan melalui analisis halal secara berkala sekurang-kurangnya sekali setahun harus mula difikirkan oleh pihak Jakim demi menjamin keabsahan produk di pasaran yang sudah disahkan halal. Malah pihak pengeluar produk seharusnya membuktikan analisis halal sudah dilakukan semasa audit pemantauan yang biasanya dilakukan setiap dua tahun sekali oleh pihak Jakim.


Keperluan sumber rujukan kedua ini penting agar makmal swasta yang melakukan analisis halal dapat ditentukan keupayaan serta integritinya, malah boleh dijadikan sebagai panel diskusi sekiranya terdapat percanggahan hasil keputusan di antara makmal kerajaan dan makmal swasta yang mempunya ISO.


Panel makmal ini juga perlu diberi kebenaran membuat kenyataan umum berkaitan status halal atau haram sesuatu produk jika mereka mempunyai bukti kukuh hasil keputusan makmal sebagai nasihat kepada masyarakat untuk menjauhi produk tersebut.


Oleh itu, sudah tiba masanya Jakim lebih agresif dalam mengendalikan isu halal yang dibangkitkan. Rombak sistem sedia ada yang dilihat ada kelemahan termasuk menambah baik pelaksanaan audit badan halal luar negara yang diiktiraf Jakim agar tidak timbul keraguan.


Menyentuh isu kartel daging sebagaimana yang didedahkan sebelum ini, sehingga kini kita masih menunggu apa status laporan audit Jakim selepas pihaknya menghantar pasukan melakukan pengesahan audit badan halal luar negara dan loji-loji penyembelihan yang berkaitan dalam membekalkan bekalan daging ke pasaran Malaysia.


Ia selepas isu yang pernah dibangkitkan Utusan Malaysia pada April tahun lalu mengenai sebuah loji sembelihan di Australia disahkan melanggar protokol halal dalam proses penyembelihannya.


Habis

266 views0 comments

Related Posts

See All

Comments


bottom of page