Pertahankan Kedaulatan Undang-Undang dan Biar Mahkamah Menentukan Kesalahan atau Pembebasan Najib Razak dan Semua Kes Berprofil Tinggi Tanpa Permohonan Pembebasan oleh Peguam Negara
October 5, 2023
KENYATAAN BERSAMA PERTUBUHAN MASYARAKAT SIVIL PERTAHANKAN KEDAULATAN UNDANG-UNDANG DAN BIAR MAHKAMAH MENENTUKAN KESALAHAN ATAU PEMBEBASAN NAJIB RAZAK DAN SEMUA KES BERPROFIL TINGGI TANPA PERMOHONAN PEMBEBASAN OLEH PEGUAM NEGARA
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta badan bukan kerajaan (NGO) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Peguam Negara (AG) Ahmad Terrirudin untuk badan kehakiman membiarkan kes-kes ahli politik yang didakwa dengan korupsi tanpa AG menggunakan kuasa budi bicara beliau di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk menghentikan sebarang perbicaraan mahkamah.
Pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) untuk Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bersabit kes Yayasan Akalbudi pada 4 September adalah contoh kuasa budi bicara AG, yang juga merupakan Pendakwa Raya (PR), di bawah undang-undang semasa. Selain daripada kes Zahid, terdapat beberapa lagi kes korupsi pada masa lalu yang melibatkan ahli politik atau individu yang berkaitan dengan mereka yang DNAA atau dibebaskan sepenuhnya. Perkara ini biasa terjadi selepas pertukaran kerajaan dan mesej yang sedang dihantar adalah ketakbersalahan seseorang adalah bergantung kepada kuasa yang dimilikinya. Hal ini tidak boleh dibiarkan berterusan. AG tidak sepatutnya memegang jawatan PR dan reformasi untuk memisahkan PR daripada AG perlu dilaksanakan agar jawatan PR benar-benar bebas daripada campur tangan politik.
Memandangkan AG adalah lantikan PM dan mempunyai kuasa yang luas untuk menarik semula kes jenayah seperti dalam kes DNAA Zahid, kami dan rakyat Malaysia sangat khuatir perjalanan tiga lagi kes Najib Razak bersabit 1MDB dan cukai pendapatan, serta kes RM1.7 juta oleh isteri beliau, Rosmah Mansor, berkaitan penggubahan wang haram dan pengelakan cukai. Adakah bekas PM dan isterinya akan dibebaskan sedemikian rupa daripada pendakwaan korupsi mereka dan adakah dalam kes Najib, akan membuka jalan kepada pengampunan beliau dalam kes SRC?
Sekiranya Najib dan Rosmah boleh dibebaskan, seolah-olah mereka adalah mangsa pendakwaan terpilih selepas jenayah skandal 1MDB yang menyebabkan kewangan negara hampir roboh, Malaysia akan muncul semula sebagai ekonomi paria tanpa kedaulatan undang-undang dan boleh menyebabkan pelabur asing lari. Tujuh misi sasaran dalam kerangka Ekonomi Madani hanya akan jadi angan-angan kosong.
Ratusan ribu rakyat Malaysia telah turun ke jalan untuk berhimpun secara aman semasa Bersih 4 dan 5 pada 2015 dan 2016 mendesak reformasi institusi dan akauntabiliti selepas pendedahan skandal 1MBD. Hal ini telah menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2018 di dalam PRU14, yang membatalkan impuniti terpilih kepada Najib, Zahid dan lain-lainnya.
Rakyat Malaysia daripada semua belahan politik berterusan menolak korupsi pada PRU15 memandangkan kedua-dua gabungan utama yang berkempen atas platform antikorupsi, iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), memenangi 68% daripada jumlah undi popular. Anwar Ibrahim dan PH berhutang kuasa dengan amarah rakyat terhadap korupsi.
Rakyat Malaysia mengharapkan iltizam politik yang kuat daripada Anwar untuk melawan korupsi yang sistemik dan mempertahankan kedaulatan undang-undang, yang harus dilihat melalui perbicaraan Najib, Zahid dan lain-lain secara adil dan tanpa gangguan.
Sekiranya AG baharu, Ahmad Terrirudin bertindak untuk menarik semua pertuduhan terhadap Najib dan Rosmah dalam perbicaraan yang sedang berlangsung, Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani perlu bertanggungjawab kerana membenarkan kuasa besar AG disalahguna untuk melepaskan kleptokrat di bawah pemerhatian PM. Garis merah ini tidak boleh dilangkah Anwar yang boleh menyebabkan Malaysia dilanda malapetaka ekonomi.
Justeru, kami, pertubuhan masyarakat sivil yang bertandatangan di bawah, menggesa Perdana Menteri dan Peguam Negara memberikan komitmen mereka secara terbuka untuk:
Moratorium terhadap sebarang permohonan oleh AG bagi DNAA atau pembebasan untuk semua kes berprofil tinggi melibatkan ahli politik atau individu yang rapat dengan mereka, terutamanya tetapi tidak terhad kepada kes Najib dan Rosmah, sehingga peranan AG dan PR dipisahkan.
Mempercepatkan dan mengisytiharkan penghujung tahun 2024 sebagai garis masa pemisahan AG-PR yang telah diumumkan oleh Menteri Undang-Undang Azalina Othman Said pada 18 September 2023. Reformasi ini adalah penting untuk melindungi integriti institusi undang-undang daripada pengaruh politik dan untuk mempertahankan kedaulatan undang-undang.
Untuk membuka atau mendakwa semula kes DNAA ahli politik yang dituduh dengan korupsi, terutamanya tetapi tidak terhad kepada kes Yayasan Akalbudi Zahid. Mahkamah perlu dibiarkan untuk menentukan kebersalahan atau ketakbersalahan mereka yang dituduh berdasarkan bukti-bukti yang dibentangkan.
Tidak menarik semula atau menggugat semua rayuan dengan membiarkan peluang rayuan luput seperti dalam kes penggubahan laporan 1MDB oleh Najib dan Arul Kanda. Rayuan terhadap kes Sistem Visa Luar Negara (VLN) Zahid yang membawa 40 pertuduhan rasuah tidak boleh dihentikan atau dibuang atas alasan teknikal.
Tuntutan kami dan harapan rakyat Malaysia adalah mudah – kami mahukan kedaulatan undang-undang, kerana hal ini penting bagi menstabilkan politik yang akan membolehkan Kerajaan Perpaduan Anwar Ibrahim untuk menghabiskan penggalnya. Paling mustahak, kami mahukan kerajaan bersih yang akan membasmi korupsi sistemik di negara kita agar tidak ada parti politik atau ahli politik yang berani menumpuk harta secara salah guna kuasa. Kepentingan dan kelicikan politik untuk memberikan impuniti terpilih kepada Najin dan Rosmah akan memberi kesan ekonomi dan politik yang teruk.
Dengan menghancurkan kedaulatan undang-undang, membebaskan Najib dan Rosmah akan membawa keruntuhan segera Kerajaan Madani dan merobohkan harapan Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi. Jutaan rakyat Malaysia yang mengharapkan perubahan secara aman, kestabilan dan kemakmuran akan jatuh ke lembah kekecewaan.
Perdana Menteri, kami mengharapkan jaminan yang tidak berbelah bagi bahawa api reformasi masih marak selepas 25 tahun dan akan terus mekar berbanding tajribah politik yang sia-sia.
Justeru, BERSIH akan melancarkan petisyen atas talian mengajak rakyat Malaysia untuk mendesak Perdana Menteri untuk bertindak terhadap empat tuntutan ini bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kestabilan politik. Kami mengajak rakyat untuk menandatangan petisyen ini dan menyebarkannya agar ahli politik yang didakwa dengan kes rasuah perlu dibicarakan dengan adil dan menyelesaikan perbicaraan tersebut: https://chng.it/ZdvrfkrQBx
Dikeluarkan oleh:
BERSIH (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil)
ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia)
Agora (Agora Society Malaysia)
ALIRAN (Persatuan Aliran Kesedaran Negara)
AWAM (All Women’s Action Society Malaysia)
Borneo Komrad
CAGED (Citizens Against Enforced Disappearances)
Cahaya Society
Demokrat UKM
Demokrat UM
EMPOWER (Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor)
Engage
G25 (G25 Malaysia)
GBM (Gabungan Bertindak Malaysia)
GERAK (Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia)
Global Bersih
Growing Emerging Leaders
HAKAM (The National Human Rights Society)
IDEAS (Institute Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi)
IKRAM (Pertubuhan IKRAM Malaysia)
Imagined Malaysia
KLSCAH (Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall)
KMU (Komuniti Muslim Universal Malaysia)
Lawyer Kamek
LLG Cultural Development Centre
MAJU (Malaysian Action For Justice And Unity)
MoCS (Movement for Change, Sarawak)
PATRIOT (Persatuan Patriot Kebangsaan)
Pertubuhan Amal Kita Kinta Perak
Pertubuhan Suara Anak Sabah
POWER (Pergerakan Orang Wanita. Empowerment and Revolution)
PROHAM (Society for Promotion of Human Rights (Proham)
PSH
Pusat KOMAS
RasuahBusters
ROSE (Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat)
Sabah Human Rights Centre
SABM (Saya Anak Bangsa Malaysia)
SERATA (Society for Equality, Respect And Trust for All Sabah)
SIS (Sister in Islam)
Suara Mahasiswa UMS
Suara Siswa Universiti Malaya
SUARAM (Suara Rakyat Malaysia)
Teoh Beng Hock Trust for Democracy
Tiada.Guru
Tindak Malaysia
UMANY (University of Malaya Association of New Youth)
Undi Sabah
UNDI18 (Persatuan Pengundi Muda)
Yes. If we build a society and a political system based on unequal rendering of justice, that society will fail. The poor go to prison, and the rich l, powerful and connected are not prosecuted or are pardoned. I was on the streets with Bersih, with teargas in my eyes then, and will be again if necessary InshaAllah.
Sure boh...We the Rakyat sedang bangun or pilih orang jugak....☕️☕️🥛☕️